PETALING JAYA – Dikatakan dua tahun gagal membayar komitmen, banglo mewah milik pelakon Rebecca Nur Islam dan bekas suami, Datuk Nur Azam Sulaiman akhirnya dilelong dan dibeli pada harga RM2.91 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Perkara tersebut dikongsi Ishaq Marazi yang juga pelelong berlesen dalam satu hantaran Facebook hari ini.
“Terjual RM2.91 juta hari ini.
“Pembida tunggal,” katanya ringkas.
Sebelum itu, Ishaq dalam hantaran berbeza pada 8 November lalu memuat naik foto kediaman mewah milik seorang selebriti yang terletak di Ampang, Selangor dibuka untuk lelongan.
“Rumah artis, lelong RM2.91 juta.
“Nilai RM4.5 juta, Ampang,” ujarnya.
Meskipun Ishraq tidak menyatakan mana-mana nama selebriti, rata-rata netizen memberitahu kediaman tersebut adalah milik Rebecca dan bekas suami.
Difahamkan, kediaman dengan reka bentuk moden tersebut memiliki keluasan 8,224 kaki persegi dan lengkap dengan kemudahan kolam renang.
Rebecca sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kediamannya yang sudah dilelong hari ini. – KOSMO! ONLINE














