fbpx
Jalan Nakhon In di Nonthaburi dinaiki air apabila paras air di sepanjang Sungai Chao Phraya meningkat. - Balai Polis Bang Kruai

Bangkok berisiko banjir akibat limpahan Sungai Chao Phraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Bangkok dan beberapa bahagian wilayah Pathum Thani serta Nonthaburi berdepan peningkatan risiko banjir dalam beberapa hari akan datang ketika pihak berkuasa meningkatkan kadar pelepasan air di Bendungan Chao Phraya di Chai Nat susulan hujan baru-baru ini, lapor akhbar Bangkok Post. 

Amaran itu dikeluarkan Agensi Pembangunan Geo-Informatik dan Teknologi Angkasa Lepas (Gistda) selepas Jabatan Pengairan Diraja (RID) lewat Sabtu lalu meningkatkan kadar pelepasan daripada 2,750 meter padu kepada 2,800 meter padu sesaat. Ia adalah bagi menampung aliran masuk yang deras dari sungai-sungai di utara yang dilimpahi sisa Ribut Kalmaegi.

Ini akan menyebabkan paras air di sepanjang Sungai Chao Phraya dan sebilangan anak sungainya meningkat, sekali gus meningkatkan risiko banjir di komuniti tepi sungai yang rendah, demikian menurut Gistda.

Agensi itu berkata, air pasang yang tinggi memburukkan lagi keadaan dengan memperlahankan saliran ke Teluk Thailand. Ia menyebabkan banyak kawasan tepi sungai di Greater Bangkok, terutamanya yang berada di luar penghadang perlindungan banjir utama bandar itu berada dalam tekanan ketara.

Gistda menyeru penduduk yang tinggal di sepanjang kedua-dua tebing Sungai Chao Phraya di Pathum Thani, dari Sam Khok hingga daerah Muang, untuk berwaspada terhadap lonjakan paras air secara tiba-tiba.

Di Nonthaburi, Gistda menyatakan daerah Pak Kret dan Bang Kruai amat terdedah. Di Bangkok, daerah seperti Bang Phlat, Bangkok Noi, Bangkok Yai dan Thon Buri menghadapi peningkatan risiko banjir kerana ia terletak di luar pertahanan banjir utama bandar.

Menurut ramalan 24 jam terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand, hujan lebat dijangka berlaku di seluruh utara terutamanya di Mae Hong Son, Chiang Mai, Chiang Rai, Lamphun, Lampang, Phayao dan Tak.

Ramalan itu menyatakan sistem tekanan rendah yang terbentuk di kawasan barat wilayah utara akan membawa hujan lebat ke rantau tersebut, meningkatkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan pergunungan serta banjir di zon rendah. 

Hujan lebat juga diramalkan di wilayah selatan disebabkan angin barat daya di Laut Andaman dan selatan Thailand. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI