fbpx
IPRM mengiktiraf pelajar cemerlang dan mahu menambah bilangan generasi muda yang berkebolehan dalam komunikasi. -Gambar hiasan

Anugerah Kecemerlangan IPRM bakal lahir bakat muda dalam bidang komunikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) memperkenalkan Anugerah Kecemerlangan perhubungan awam (PR) dan Komunikasi IPRM untuk pelajar terbaik, satu inisiatif penting untuk memupuk generasi baharu pemimpin komunikasi.

Anugerah ini akan diberikan kepada pelajar PR dan Komunikasi paling cemerlang daripada setiap universiti yang berdaftar di bawah Persatuan Pelajar IPRM (IPRMSA) di seluruh negara bermula pada tahun akademik 2026.

Pengarah Pendidikan IPRM dan Pengerusi IPRMSA, Prof Madya Dr Nurul Ain Mohd Hasan berkata, potensi transformatif anugerah ini bukan sekadar mengiktiraf pelajar tetapi untuk menyerlahkan pencetus perubahan masa depan mereka.

“Bakat muda ini sudah pun membentuk naratif dengan kejelasan, tujuan, dan integriti. Anugerah ini adalah landasan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Ditubuhkan pada tahun 1962 sebagai badan profesional kebangsaan bagi perhubungan raya di Malaysia, IPRM terus memperkasa standard dan martabat profesion ini.

Anugerah baharu ini memperkenalkan penanda aras kebangsaan bagi kecemerlangan akademik dan profesional, dengan mengiktiraf serta meraikan bakat baharu terbaik dalam bidang ini.

Sehingga kini, IPRM telah menubuhkan lebih daripada 20 cawangan IPRMSA di universiti awam dan swasta, membuktikan komitmen berterusan dalam memupuk kecemerlangan dan integriti dalam kalangan pengamal masa depan.

Bagi mengukuhkan hubungan antara akademia dan industri, anugerah berprestij ini meraikan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah yang menunjukkan pemikiran strategik, kepimpinan beretika, dan kecemerlangan dalam komunikasi.

Setiap fakulti yang mengambil bahagian akan mencalonkan seorang pelajar terbaik melalui proses pemilihan dalaman yang telus, dengan kelulusan akhir diberikan oleh Majlis IPRM. Panggilan pertama untuk pencalonan akan dibuka secara rasmi pada tahun 2026.

Mengulas mengenai anugerah tersebut, satu kenyataan turut dikeluarkan memaklumkan bahawa, anugerah ini adalah landasan untuk melahirkan pemimpin masa depan dan pengesahan kebangsaan terhadap bakat.

Penerima anugerah akan memperoleh pendedahan industri melalui rangkaian profesional IPRM, termasuk agensi, syarikat korporat, dan entiti berkaitan kerajaan selain menjadi prestij dan kredibiliti yang mengukuhkan portfolio mereka untuk peluang pekerjaan, biasiswa, dan pengajian lanjutan.

Ia juga memberi akses kepada bimbingan dan jaringan bersama pengamal kanan serta pemimpin pemikiran dalam bidang komunikasi di Malaysia. selain membangunkan kepimpinan melalui inisiatif IPRMSA dan pendedahan kepada cabaran dunia sebenar.

Bagi memastikan ketelusan dan kredibiliti, anugerah ini akan dipantau oleh jawatankuasa pemantau yang terdiri daripada wakil Majlis IPRM, Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE), dan pemimpin industri yang dihormati.

Panel pelbagai latar ini menggabungkan pandangan akademik dan kepakaran industri bagi memastikan proses penilaian yang menyeluruh dan teliti. Ahli jawatankuasa ini akan diumumkan secara rasmi pada Januari 2026.

Proses pemilihan berasaskan merit: universiti IPRMSA yang mengambil bahagian akan mencalonkan pelajar cemerlang melalui kerangka dalaman masing-masing.

Pencalonan ini akan disemak dengan teliti oleh jawatankuasa pemantau, dan kelulusan akhir akan diberikan oleh Majlis IPRM.

Selain itu, IPRM menyeru semua universiti yang bernaung di bawah IPRMSA untuk mula menyediakan kerangka pemilihan dalaman masing-masing.

Kumpulan pertama penerima anugerah akan diraikan pada tahun 2026, menandakan era baharu kecemerlangan dalam bidang PR dan komunikasi di Malaysia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI