ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 12 orang maut, manakala lebih 20 lagi cedera dalam letupan bunuh diri di luar sebuah kompleks mahkamah di ibu negara Pakistan, Islamabad, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Letupan berlaku pada sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran kompleks, menyebabkan ia terbakar.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan kenderaan itu mengeluarkan asap tebal ke ruang udara, dengan penggera dibunyikan ketika orang ramai cuba merakam kekecohan tersebut menggunakan telefon bimbit mereka.
Pihak berkuasa mengesahkan lebih 20 mangsa mengalami kecederaan pelbagai tahap dengan sebahagian daripadanya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Seorang peguam, Rustam Malik berkata: “Selepas saya meletakkan kereta dan masuk ke dalam kompleks, saya mendengar bunyi dentuman kuat di pagar. Keadaan menjadi huru-hara dengan ramai peguam berlari di dalam bangunan.
“Saya kemudian melihat dua mayat terbaring di pagar dan beberapa kereta terbakar,” kata Malik kepada agensi berita AFP.
Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi berkata, penyerang cuba memasuki premis mahkamah tetapi gagal, menyebabkan bom itu diletupkan berhampiran kenderaan polis.
Pasukan kecemasan, unit pemusnah bom dan pasukan forensik bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Kami sedang menyiasat letupan itu. Kami akan memberikan butiran lanjut selepas menerima laporan daripada pasukan forensik,” kata jurucakap polis. – AGENSI














