fbpx
IRAZABAL (dari kanan), Figueiredo dan Machuca antara tiga daripada tujuh pemain warisan yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA.

Sempurnakan dua tugasan terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya telah membuat keputusan mengenai rayuan dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akhirnya tidak memihak kepada kita.

Hukuman denda dikekalkan, tujuh pemain terlibat tetap digantung daripada semua aktiviti bola sepak untuk tempoh 12 bulan, namun FAM juga telah membuat keputusan untuk melanjutkan kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Keputusan membawa kes ke pengadilan paling tinggi dalam dunia sukan itu menimbulkan polemik dan reaksi pelbagai apabila ada yang menganggap ia sekadar menjadi sia-sia, selain melibatkan kos yang tidak murah.

Ramai yang menganggap potensi untuk ‘kita’ menang di sana sangat tipis selepas FIFA menolak keseluruhan rayuan yang dikemukakan, namun andai ia menjadi jalan terakhir dalam perjuangan membersihkan nama FAM dan Malaysia, apa salahnya mencuba.

Sama ada keputusan memihak atau sebaliknya patut berada dalam pertimbangan, namun meramalkan keputusan awal yang negatif juga bukanlah perkara yang wajar. Mengaku kalah sebelum berperang, memalukan.

Bagaimanapun, apabila kita membuat keputusan untuk berperang, tidak eloklah andai sekadar mengharapkan ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’, persiapan mesti rapi, kekuatan perlu diukur supaya tidaklah dianggap berbuat perkara sia-sia.

Keseluruhan impak yang bakal diterima perlu masuk dalam perkiraan, soal reputasi bola sepak negara perlu dipertimbangkan biarpun pada hakikatnya ia sudah tercalar, teruk atau tidak terserah kepada anda untuk melabelkannya.

Sebagai peminat bola sepak negara, biarpun apa juga badai yang melanda, kita tentunya kekal setia di belakang Harimau Malaya yang memiliki tugasan pada 18 November ini apabila perlu berdepan Nepal pada aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Ia perlawanan kedua terakhir sebelum bertemu seteru penting Vietnam pada aksi terakhir pada 31 Mac tahun depan ketika Harimau Malaya menerajui Kumpulan F dengan penuh bergaya meraih kemenangan bersih dalam empat perlawanan, meledak 14 gol dan hanya bolos sekali.

Bertemu Nepal tidak ada keputusan lain yang diharapkan kecuali menang dan menentang Vietnam juga kita mengharapkan Harimau Malaya mampu mengulangi prestasi sama pada Jun lalu.

Di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum ini, skuad kendalian Peter Ckalamovski terlalu dominan membenam Vietnam, namun tanpa tujuh pemain warisan yang digantung menyebabkan ramai yang mula sangsi dengan kemampuan.

Melihat kemenangan 4-0 ke atas Vietnam semata-mata kerana kudrat tujuh pemain berkenaan perlu dianggap sebagai ‘tahyul’ kerana banyak elemen lain terutama percaturan yang akhirnya mendedahkan bahawa Vietnam juga tidak terlalu sempurna, ada pincangnya.

Apa yang penting ketika ini adalah kepercayaan terhadap pemain yang sedia ada dan para pemain yang diberi kepercayaan juga perlu menggunakan sebaik mungkin. Itu yang diperlukan oleh semua peminat.

Selesaikan dua tugasan terakhir ini dengan penuh bergaya perlu menjadi fokus utama, kemudian apa juga keputusan yang akan dikeluarkan oleh CAS terima dengan hati terbuka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN