PETALING JAYA – Taman tema air di bawah seliaan Gamuda Land Leisure, SplashMania Waterpark (SplashMania) di Kuala Langat, Selangor kembali memperkenalkan Night Splash iaitu acara bermusim pada waktu malam yang cukup dinanti-nantikan oleh para pengunjung.
Acara tersebut berlangsung sepanjang bulan November ini hanya pada hari Jumaat dan Sabtu menampilkan tema Night Splash Amazonia K-Wave yang menggabungkan pengalaman bermain air pada waktu malam dengan pementasan budaya dinamik selama sebulan.
Menurut Pengurus Besar Kanan Riadah dan Hospitaliti Gamuda Land, Liong Ve Lyn, pihaknya menggabungkan fenomena global K-pop dengan persekitaran bertema yang mengasyikkan untuk menarik pelawat tempatan dan antarabangsa.
“Permintaan yang berterusan untuk Night Splash mendorong keinginan kami untuk berinovasi dan menyampaikan konsep baharu.
“Menerusi tema Amazonia K-Wave, kami membuat kelainan dengan mewujudkan pengalaman berhibur menerusi budaya K-pop kepada para tetamu.
“Ia bakal menjadi destinasi sosial yang segar dan menggembirakan di bawah bintang-bintang malam,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Antara tarikan menarik yang diperkenalkan dalam tema Amazonia K-Wave adalah Deck The Beat iaitu peluang menikmati makanan dan minuman sambil melihat pemandangan sekitar di atas titik tertinggi di taman tema air iaitu di atas kapal besar Amazonia.
Tarikan lain adalah Acoustic Immersion, yang mana para tetamu dapat berhibur dengan lagu K-pop daripada artis-artis terkemuka seperti Blackpink, BTS, Aespa dan Twice, selain tarian K-pop bertenaga.
Sepanjang bulan ini juga, SplashMania akan dilimpahi dengan cahaya lampu LED yang berseri serta persembahan tarian api cukup menarik. -KOSMO! ONLINE






