fbpx
China pada ketika ini sedang membangunkan kereta api berteknologi Hyperloop melalui terowong laluan vakum yang menyasarkan kelajuan 621mph (1,000km/j), menyamai atau melebihi kelajuan pesawat Boeing 737.

Misi bangunkan kereta api sepantas pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK dekad kebelakangan ini, banyak negara saling bersaing dalam mempamerkan teknologi buatan masing-masing yang menampilkan kehebatan cukup luar biasa.

Dalam bidang pengangkutan, China kini sedang membangunkan kereta api magnetik berasaskan teknologi dinamakan Hyperloop yang pada akhirnya bermatlamat untuk memiliki kelajuan setara atau lebih pantas daripada pesawat penerbangan komersial.

Jika direalisasikan, ia mungkin bakal menjadikan menaiki kapal terbang untuk penerbangan jarak dekat sebagai suatu idea lapuk atau ketinggalan zaman.

Idea atau konsep Hyperloop sebenarnya pernah diilhamkan oleh Elon Musk pada tahun 2013, namun China telah cuba menjadikannya satu realiti.

China mencuri perhatian apabila bakal merealisasikan sistem pengangkutan ultrapantas futuristik berkonsepkan kereta api ‘terbang’ itu. Teknologi Hyperloop menggabungkan idea kapsul berkelajuan tinggi bergerak dalam tiub bertekanan rendah atau vakum maglev.

Dengan melalui tiub atau ‘laluan terowong’ vakum itu boleh membolehkan kelajuan maksimum tanpa pergeseran udara dan halangan persekitaran yang selama ini mengurangkan kelajuan kereta api.

Menurut MSN.com dan radii.co, teknologi tersebut menyasarkan untuk memiliki kepantasan 621mph (1,000km/j) yang mana ia menghampiri kepantasan Boeing 737, walaupun ujian terkini dilakukan setakat ini mencapai 387mph (622km/j).

Boeing 737 mempunyai kelajuan lingkungan 838km/j hingga lebih 1,000km/j.

Pemandangan terowong laluan vakum di Shanxi untuk ujian kelajuan T-Flight.

Dengannya, perjalanan Beijing-Shanghai yang mengambil masa enam jam dengan kereta api laju pada masa ini boleh dikurangkan kepada hanya 90 minit.

Menurut Ketua Projek, Wang Xiaojun, kereta api diberi nama T-Flight itu telah menjalani ujian awal di wilayah Shanxi pada trek berjarak 2km dengan kelajuan mencapai 622km/j.

Pencapaian itu bagaimanapun sudah cukup untuk membuatkan T-Flight mengatasi rekod kereta api Siri LO Jepun yang memiliki kelajuan 374mph (601km/j) menggunakan sistem SCMaglev.

“Pada Oktober 2024, T-Flight berjaya diuji dalam keadaan vakum rendah buat kali pertama dan ia menunjukkan daya maju sistem hyperloop berskala penuh.

“Sistem ini stabil dari segi apungan, pecutan dan brek dalam keadaan vakum yang terkawal membolehkan gerabak bergerak seolah-olah terbang di udara,” katanya kepada HK Media.

T-Flight menggunakan motor linear daya magnet (LSM) yang berfungsi sebagai medium tujahan atau daya tolak tren ke hadapan yang dikawal secara teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan bahan komposit ringan pada rangka gerabak.

Sistem digital itu bukan sahaja memantau kadar kelajuan tetapi turut menguruskan kadar tekanan vakum memastikan keselamatan dan tindak balas kecemasan automatik.

SATU gambaran bagaimana tujahan kereta api semasa melalui tiub vakum.

Teknologi tersebut mula dikaji oleh ahli akademik China sekitar tahun 2015 apabila Universiti Southwest Jiontong menerajui penyelidikan awal sementara syarikat aeroangkasa milik kerajaan, China Aerospace Science and Industry Corporation (CASIC) pula bertanggungjawab dalam membina laluan ujian sekitar 2023.

Perkembangan inovasi itu membuatkan Pemerhati Teknologi dan Infrastruktur Futuristik, Adrian Zhao berpandangan projek berkenaan bakal menjadi pelengkap kepada jaringan pengangkutan negara.

Bukan sekadar imaginasi futuristik, tetapi T-Flight akan menjadi rangkaian kereta api laju terbesar di dunia yang boleh menjadi tarikan pelancong dan bukti kemajuan China sebagai negara termaju.

“China sudah mempunyai rangkaian kereta api yang hebat jadi usaha ini adalah langkah menuju ke teknologi vakum maglev dan dilihat sebagai evolusi semula jadi masa hadapan.

“China berada pada kedudukan yang terbaik apabila menjadi negara yang mampu menerajui teknologi ini. Saya yakin dana besar, kemahuan politik dan ekosistem penyelidikan yang agresif bakal membolehkan kita melihat sebuah lagi kejayaan terbesar China,” katanya di MoDao Daily.

Dengan sasaran jangka panjang yang mampu mencapai kelajuan 1,000 km/j, teknologi itu berpotensi menghubungkan bandar utama dalam masa singkat sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi serantau dan menyokong usaha negara membina sistem mobiliti yang rendah karbon.

Sekiranya projek tersebut berjaya, ia dapat memendekkan masa perjalanan antara Beijing ke Shanghai yang memakan masa sekitar 6 jam dengan menggunakan kereta api pantas sedia ada (Fuxing Bullet) kepada hanya 90 minit.

Kereta api ini juga mampu menjadikan pengangkutan penghantaran pantas (domestik) sekali gus membuktikan jarak bukan lagi halangan untuk memastikan barangan sampai lebih cepat.

Bagaimanapun perjalanan ke arah realiti sepenuhnya tidak lengkap jika tanpa perlu mengharungi cabaran.

Antaranya termasuk kos pembinaan yang sangat tinggi, keperluan penyelenggaraan kompleks, sistem keselamatan canggih untuk tekanan vakum, risiko kecemasan dan isu pengembangan struktur akibat perubahan suhu.

Selain itu, laluan terowong yang panjang dan stabil memberikan cabaran besar melibatkan sudut geografi terutama jika merentasi kawasan padat selain melibatkan kerjasama banyak pihak.

Beberapa fasa ujian perlu dilakukan bagi memastikan prestasi kereta api berfungsi seperti diharapkan dan tidak membebankan rakyat.

“Kereta api ini merupakan projek berskala besar yang menjadi perhatian global, jadi kita perlu memastikan setiap langkah diambil adalah selamat untuk rakyat.

“Dana yang mencukupi juga penting kerana setiap kali kita melakukan ujian pemanduan, tentu sahaja itu melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

“Buat masa ini ujian lebih banyak memberi fokus kepada kelajuan, kemudian mungkin mereka akan membuat ujian kepada brek, sistem keselamatan dan landasan. Semua itu perlu kemahiran dan dana,” ujar Zhao.

Walaupun demikian, China terkenal dengan kemampuan pelaksanaan projek infrastruktur mega dengan cepat dan tidak mustahil segala masalah tersebut dapat diselesaikan.

Tambah Zhao, reaksi masyarakat yang meragui kemampuan serta keutuhan konsep Hyperloop sebelum ini turut membuatkan beberapa negara Barat kurang yakin dengan projek tersebut.

“Projek ini bukan murah, jadi banyak negara perlu membuat pertimbangan teliti agar tidak menanggung kerugian.

“Biarpun projek ini pernah diperkatakan oleh Elon Musk sekitar 2013, tetapi tidak banyak negara melakukannya kecuali China kerana memerlukan kombinasi modal besar dan kemahiran teknikal,” katanya.

Difahamkan buat masa ini T-Flight masih perlu menjalani beberapa fasa ujian makmal dan trek pendek kira-kira 2km sebelum bersedia beralih ke laluan lebih panjang iaitu 10km hingga 50km dalam tempoh masa lima tahun.

Kemudian beralih kepada percubaan laluan perintis di kawasan bandar ke bandar menjelang 2030 sebelum dipercayai akan memulakan operasi penuh selepas tahun 2035.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN