PETALING JAYA – Zus Coffee memohon semua pihak memberi ruang dan masa, sementara insiden pekerja disimbah kopi oleh seorang pelanggan dalam siasatan lanjut.
Menurut Zus Coffee, pekerja tersebut kini sedang berehat dan memulihkan diri daripada insiden berkenaan dan penyebaran informasi bahawa pekerja itu dipecat tidak benar.
“Di Zus Coffee, kami tidak bertolak ansur dengan sebarang sikap atau perilaku yang tidak menghormati komuniti kami.
“Kami akan terus komited bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua,” katanya menerusi satu kenyataan.
Zus Coffee berkata, perkongsian semula video interaksi yang berlaku di salah sebuah cawangan tidak disiarkan semula untuk menghentikan kenyataan palsu.
“Kami telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan sentiasa berada di sisi pekerja kami.
“Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia mencuba yang terbaik,” ujarnya.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai yang menggesa Zus Coffee untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pekerja tersebut.
“Kami sebagai pelanggan Zus Coffee berharap agar pekerja tersebut tidak rasa tertekan dengan insiden yang berlaku. Kami yakin insiden itu tidak berpunca daripada pekerja Zus Coffee,” komen @Jaiyen_
“Jangan diam-diam pecat pekerja itu akan datang. Pekerja itu mangsa keadaan,” komen @Namelessveiled
“Harap pihak pengurusan tidak percaya dengan istilah ‘pelanggan sentiasa betul’. Pihak pengurusan sepatutnya melindungi keselamatan pekerja,” komen @Fattybountut –KOSMO! ONLINE














