fbpx
Tangkap layar video Adam Alis ketika pemeriksaan polis selepas kereta dipandu rakannya dipercayai melawan arus.

Pemain bola Indonesia hina PDRM, kertas siasatan dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung penularan beberapa video di media sosial yang didakwa mengaibkan serta mengandungi tuduhan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati rakaman berkenaan dibuat ketika anggota URB menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan.

“Pemeriksaan tersebut dijalankan dengan tertib mengikut peraturan yang ditetapkan dan semua individu terlibat telah dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati terdapat satu lagi video lain yang memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan berunsur mengaibkan terhadap anggota polis terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan, tuduhan atau ulasan melulu yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menimbulkan kekeliruan awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap PDRM,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7100 atau mana-mana balai polis berdekatan. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan rakyat Malaysia mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemain bola Indonesia yang didakwa menghina anggota polis sewaktu menjalankan tugas.

Ini susulan video tular dimuat naik pemain bola tersebut, Adam Alis yang mana ketika itu dia bersama dua lagi rakannya ditahan polis selepas dikatakan memandu secara melawan arus.

Menerusi video itu, anggota keselamatan tersebut meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri termasuk pasport, namun dipercayai gagal berbuat demikian.

Anggota polis terbabit turut menegur mereka supaya membawa pasport bersama sepanjang berada di negara ini.

Bagaimanapun, video itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia apabila terdapat komen tuduhan daripada Adam Alis kepada anggota PDRM, namun sehingga kini tiada bukti dipaparkan lelaki berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN