PETALING JAYA – Peranan seorang lelaki Malaysia dipercayai sebagai ‘transporter’ sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbongkar apabila dia ditahan di Thailand bersama 75 kilogram (kg) ketamin bernilai hampir RM9 juta, Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak Subdivisyen 3, Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand memaklumkan mengenai tangkapan lelaki berkenaan ketika melalui sekatan jalan raya di negara itu.
“Hasil semakan awal mendapati suspek lelaki berusia 25 tahun beralamat di Sungai Petani, Kedah dan mempunyai empat rekod jenayah lampau. Dia dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa bekalan dadah bagi pihak sindiket yang beroperasi di Malaysia dan Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki Malaysia ditahan di sebuah pos pemeriksaan di wilayah Chumphon, selatan Thailand selepas polis menemui 75 kilogram dadah ketamin bernilai lebih 70 juta baht(RM9 juta) di dalam but kereta yang dipandunya.
Bagaimanapun, suspek mendakwa bahawa dia hanya diupah untuk memandu kenderaan itu pulang ke Malaysia dan tidak mengetahui dadah yang disembunyikan, lapor laman berita Thai Newsroom memetik saluran televisyen Channel 7 semalam.
Penangkapan lelaki itu adalah hasil pencegahan ketat penyeludupan dadah di sepanjang laluan Selatan Thai. – KOSMO! ONLINE














