fbpx
LIH KANG (dua dari kiri) menyaksikan penyampaian sijil pengiktirafan MBOR bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan STEM Belia Antarabangsa dan Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak Di Dalam Bangunan di MITC, Melaka hari ini . Foto oleh AMRAN ALI

Techlympics 2025 catat dua MBOR serentak, libat 1.8 juta peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Program Malaysia Techlympics 2025 mencipta sejarah apabila berjaya mencatat dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) secara serentak pada penganjuran peringkat akhir kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Dua pengiktirafan tersebut masing-masing bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Belia Antarabangsa dan Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak Di Dalam Bangunan.

Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu telah mencatatkan lebih 1.8 juta penyertaan di peringkat zon, termasuk peserta dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, China serta Mongolia, bermula Mei lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, Malaysia Techlympics merupakan inisiatif utama Mosti dalam pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.

“Mosti komited untuk memastikan generasi muda negara bersedia menghadapi masa depan yang dipacu teknologi baru, termasuk robotik autonomi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin meluas penggunaannya dan mendapat perhatian merentasi pelbagai sektor.

“Sebagai salah satu komitmen dan inisiatif Mosti dalam memastikan tiada golongan dipinggirkan, Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) Malaysia Techlympics 2025 ini telah melaksanakan sebanyak 85 acara keterangkuman yang melibatkan pelbagai lokasi serta menyasarkan penyertaan murid luar bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan yang turut disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di MITC, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pendekatan pelaksanaan program berkenaan amat penting sebagai inisiatif yang bersifat strategik dan berskala besar.

“Inisiatif ini memerlukan gerakan whole of nation, termasuk pembangunan industri masa hadapan seperti teknologi angkasa, industri mineral nadir bumi (REE), teknologi hijau, AI, robotik dan lain-lain sektor berimpak tinggi.

“Saya ingin menyeru agar kita semua dapat terus menyokong usaha Mosti dalam mengarusperdanakan STI sebagai pemangkin ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui penganjuran Malaysia Techlympics 2025,” katanya.

Terdahulu, program dua hari yang berlangsung di negeri ini sejak semalam menghimpunkan lebih 4,750 peserta daripada 1,289 pasukan seluruh negara yang berentap dalam 35 pertandingan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN