fbpx
Gambar hiasan.

Stok beras cukup hampir enam bulan – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Stok fizikal beras negara sebanyak 1.19 juta tan metrik masih mencukupi untuk menampung keperluan negara hampir enam bulan, setakat 21 Oktober 2025.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan ayam juga kekal stabil dengan kira-kira 70.65 juta ekor sedia di ladang bagi menampung keperluan harian rakyat.

Menurut beliau, kerajaan kini melaksanakan pendekatan bersepadu bagi memastikan Malaysia mampu berdikari jika berlaku sekatan makanan asas dari luar negara.

“Ini termasuk langkah meningkatkan produktiviti tempatan, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemodenan sektor pertanian.

“Usaha ini bertujuan menjamin bekalan makanan utama seperti beras, gandum, gula, ayam, daging, susu dan sayur-sayuran jika berlaku gangguan rantaian import global,” katanya ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan laporan Global Food Security Index (GFSI) 2022, Malaysia berada pada tahap sederhana dengan skor 69.9.

Jelas Mohamad lagi, sekiranya berlaku sekatan import, kerajaan akan merujuk Kadar Sara Diri (SSR) dan Kadar Kebergantungan Import (IDR) sebagai indikator keupayaan negara.

“Kerajaan turut mempertingkatkan R&D bagi menghasilkan baka ternakan, benih akuakultur dan varieti padi yang lebih tahan penyakit dan perubahan iklim, selain memperluas penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI