BINTULU – Perjumpaan kaum wanita bersama pihak Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dikejutkan dengan kebakaran yang memusnahkan Rumah Panjang (Rh) James Kalip di Sungai Semanok, Jalan Pesisir Jepak –Kuala Tatau ranap terbakar, hari ini.
Kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 11.41 pagi itu mengakibatkan kira-kira 120 orang penduduk tinggal sehelai sepinggang.
Tuai Rumah James Kalip berkata, api dipercayai bermula dari sebuah bilik di bahagian tengah rumah panjang yang mempunyai 20 pintu itu.
“Kejadian ini disedari oleh kaum wanita yang ketika itu sedang menghadiri perjumpaan bersama pihak AIM,” katanya di sini hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dan BBP Bintulu digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh 29 kilometer.
“Setiba di lokasi, didapati rumah panjang tersebut telah terbakar 100 peratus termasuk beberapa kenderaan yang turut terjejas,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














