PETALING JAYA – “Bayar atau rumah kamu dibakar.” Itulah ugutan ngeri diterima seorang wanita sebelum rumah keluarganya di Kluang dibakar gara-gara dipercayai menjadi mangsa sindiket pinjaman haram berpangkalan di Singapura.
Mangsa, Yeong, 33, mendakwa keseluruhan SGD27,400 (RM79,000) lesap selepas dirinya diperas ugut sejak awal Oktober lalu, selain keluarga hidup dalam ketakutan apabila poster wajahnya dan nota ancaman ditampal di rumah.
Beliau berkata, kejadian bermula pada 3 Oktober lalu selepas Yeong ternampak iklan pinjaman wang di Facebook dan menghubungi dua individu melalui WhatsApp untuk membuat pinjaman.
“Sindiket terbabit kemudian meminta salinan MyKad, permit kerja, pasport, penyata gaji dan butiran akaun bank, sebelum mendakwa nama mangsa ‘diblacklist’ serta memintanya membayar SGD2,000 (RM5,760) untuk memadamkan rekod tersebut.
“Dua hari kemudian, saya menerima panggilan mendakwa kononnya pihak mereka sudah membuat bayaran pendahuluan.
“Pada 6 Oktober, keluarga terkejut apabila poster bergambar muka saya dengan ugutan dilekatkan pada pintu pagar rumah di Kluang.
“Petang hari sama, saya menerima gambar rumah dalam keadaan terbakar melalui WhatsApp daripada nombor +65 9840 5529, sebelum seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai DK Tan mengugut supaya saya membayar SGD20,000 (RM57,600) sebelum dirunding kepada SGD12,000 (RM34,560),” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Turut hadir, Penasihat Eksekutif Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong dan Setiausaha Kebangsaan Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Lim Ching Hao.
Yeong yang bekerja sebagai pembantu pengurus mengaku terpaksa membuat beberapa transaksi termasuk menyerahkan SGD7,700 (RM22,176) secara tunai kepada seorang rakan suspek di bawah blok HDB di tempat beliau tinggal kerana bimbang keselamatan keluarga.
Namun pada 18 Oktober, kira-kira pukul 5 pagi, rumah keluarganya di Kluang benar-benar terbakar tetapi api berjaya dipadamkan.
“Sindiket yang sama turut menghantar video dan gambar kejadian itu kepadanya beberapa minit selepas insiden.
“Lebih menakutkan, pada 24 dan 25 Oktober, sindiket mengirim gambar rumah keluarga suami di Muar pula dengan amaran: “Itu cuma amaran. Kalau tak selesai, lain kali kami bakar rumah jiran sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE














