GOMBAK – Tempoh reman seorang lelaki berusia 54 tahun yang didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun di Bandar Tasik Puteri, Rawang disambung lima hari lagi sehingga 13 November ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, perintah sambung reman itu dikeluarkan mahkamah selepas tempoh tahanan suspek berakhir semalam.
“Kita telah mendapat sambungan reman lima hari lagi bermula hari ini dan suspek dijangka akan dituduh dalam minggu ini yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan ringkas malam ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan mangsa dipercayai telah dirogol oleh seorang lelaki yang dikenalinya yang juga penduduk kawasan kejiranan terbabit, namun semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Menurutnya, suspek telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














