PETALING JAYA – Menjelang Hari Raya Aidilfitri 2026, dijangka ramai golongan isteri akan pulang menyambut lebaran di rumah mentua masing-masing.
Menerusi hantaran di TikTok @Destar.my, ramai isteri berkongsi perlu membuat persediaan menyambut raya di kampung suami selain ada yang berseloroh masih dalam usaha memujuk pasangan untuk pulang beraya di rumah mereka.
“Nampaknya tahun depan giliran ramai isteri ‘berkorban’ dulu untuk pulang beraya di rumah mentua.
“Suasana kampung mentua.. Tapi jangan risau, tahun depannya lagi boleh balas semula. Bergilir-gilirlah katakan,” kata hantaran itu.
“Memang tahun ini kena balik ikut suami, mak…abah…adik rindu,’ komen Faezah.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Hari Raya Aidilfitri 2026 bakal diraikan ketika cuti sekolah penggal pertama, sekali gus dijangka memberi ruang perjalanan lebih lancar bagi mereka yang pulang ke kampung.
Untuk rekod, Kementerian Pendidikan turut memperuntukkan cuti tambahan khas sempena Hari Raya Aidilfitri, menjadikan jumlah cuti keseluruhan hampir seminggu lebih bagi pelajar sekolah.
Menjengah ke ruang komen, ramai pengguna turut berkongsi suasana kampung di rumah mentua masing- masing setiap kali Aidilfitri.
“Walaupun keluarga saya, keluar rumah belok kanan terus sampai rumah ayah, dan belok kiri sampai rumah mentua pula. Tapi tetap bergilir setiap tahun akan raya rumah mentua siapa dahulu,” kata Anis.
“Selalu gurau dengan suami, sama ada raya rumah mentua saya dahulu, atau raya rumah mentua dia,” komen @Dhiaroslee
“Betul, keluarga saya pun raya rumah mentua dahulu tahun depan. Tapi bukan mentua saya, mentua suami saya,” seloroh Mastura. – KOSMO! ONLINE














