fbpx
BARISAN pelakon yang menjayakan pementasan teater Puteri Seri Embun di Johor Bahru malam kelmarin.

Puteri Seri Embun inspirasi karya Diraja ke pentas teater

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Teater Muzikal Puteri Seri Embun hasil inspirasi karya agung adaptasi buku tulisan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dihidupkan menerusi pementasan penuh warna-warni dan sarat nilai budaya di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini malam kelmarin.

Pementasan selama dua hari bermula kelmarin dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Ke­senian Negara (JKKN) Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan dikelolakan Majlis Teater Negeri Johor dengan sokongan Yayasan Warisan Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Sekolah Seni Malaysia Johor.

Program itu turut mendapat penajaan daripada Sinar Bakery dan Active One. Teater itu mengisahkan puteri kayangan penjaga perigi keramat yang kasih terhadap manusia dan membantu penduduk dalam kesusahan, namun disalahgunakan oleh mereka yang tamak yang membawa kepada kehancuran dan penyesalan.

Pementasan yang penuh simbolik dan sarat mesej itu turut dihadiri Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli sebagai tetamu kehormat.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, kejayaan pementasan itu membuktikan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam menghidupkan kembali cerita rakyat dan nilai budaya Johor.

“Alhamdulillah, pementasan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan seperti dimaklumkan oleh Abdul Rahim, ini merupakan salah satu cerita le­genda yang ada di negeri Johor.

“Sewajarnya cerita sebegini dipentaskan kerana mempunyai elemen nasihat yang baik. Selain dapat menghidupkan aktiviti teater, secara tidak langsung ia dapat mendidik penonton melalui penyampaian mesej dan nilai-nilai murni, “ katanya ketika ditemui.

Mohd. Amran berkata, pihaknya mementaskan hampir 14 karya teater sepanjang tahun ini dan Puteri Seri Embun merupakan antara karya yang mendapat sambutan menggalakkan.

Antara karya yang akan dipentaskan selepas ini adalah Mek Mulung bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak pada awal Disember dan Kampung Boy oleh Seniman Negara Datuk Lat di Auditorium JKKN Perak pada 13 hingga 15 November ini. Ia dijangka disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu, Pengarah Tea­ter Muzikal Puteri Seri Embun, Onn Jaafar menzahirkan penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong atas perkenan untuk pementasan teater tersebut.

“Ini merupakan satu penghormatan besar buat kami kera­na julung kalinya karya diraja diangkat ke pentas teater muzikal. Kami mengambil masa tiga bulan untuk membuat persediaan termasuk kajian terhadap mitologi Melayu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN