fbpx
Arif Aiman antara tonggak penting skuad JDT pada aksi bertemu The Cats malam tadi.

Piala FA: Kuching City belum kibar ‘bendera putih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIKAP pemain menjadi nadi utama prestasi luar biasa Kuching City FC selepas berjaya menghadirkan situasi sukar kepada juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Negeri, Sarawak malam tadi.

Pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak menjelaskan, ia tidak hanya tertumpu kepada mana-mana pemain, sebaliknya seluruh pasukan berjaya memainkan peranan masing-masing dengan cukup baik.

“Kita tahu ini bukan perlawanan yang mudah tetapi saya tetap bangga dengan pemain kerana mereka memberikan segala-galanya. 

“Peminat juga luar biasa dan inilah yang kami mahukan dalam setiap perlawanan, moga-moga mereka positif untuk terus menyokong kami. 

“Kami tahu ada beberapa detik di mana mereka (JDT) mengambil peluang dan jika kami beri ruang walau seinci, Bergson da Silva akan mengambilnya. Tetapi pemain saya tidak pernah berputus asa. 

“Walaupun ketinggalan 0-2, mereka tetap berjuang dan kami berjaya mendapatkan satu gol. Jadi kami akan cuba yang terbaik lagi untuk perlawanan seterusnya,” katanya selepas tewas 1-2 kepada JDT.

Bergson menghasilkan dua gol buat Harimau Selatan, manakala jaringan tunggal The Cats dijaringkan oleh Petrus Shitembi, namun kedua-dua penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (JDT) dan Muhammad Haziq Nadzli (Kuching City) menjadi pemain paling menyerlah sepanjang perlawanan.

“Seperti saya katakan, semua orang (memainkan peranan), bukannya hanya seorang pemain. Ini adalah kali pertama Kuching City berada di separuh akhir dengan tekanan sebegini, namun permulaan yang baik buat kami,” tambah Aidil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI