KOTA TINGGI – Penampilan ramai muka baharu dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai langkah wajar membuktikan parti itu serius untuk membawa perubahan kepada negeri tersebut.
Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu juga memberi peluang kepada generasi muda memainkan peranan dalam kemajuan negeri.
“Muka-muka baru sesuatu yang sangat-sangat wajar, itu menunjukkan bahawa BN sangat serius untuk membawa perubahan juga untuk memberi peluang kepada calon-calon baru, muda yang mungkin mampu membawa kemajuan yang lebih baik kepada Sabah.
“Dan yang lebih penting juga, Sabah dan mana-mana negeri jika ingin dibangunkan dengan baik perlu ada hubungan yang rapat dengan kerajaan pesat,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan (Felda) Lok Heng, Kota Tinggi di sini hari ini.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan sokongan terhadap BN. – KOSMO! ONLINE














