PENGURUSAN kelab Terengganu FC (TFC) mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sebelum membuat sebarang keputusan mengenai posisi ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali susulan prestasi hambar pasukan musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Peteh, Sheikh Farouk Sheikh Mohamad berkata, prestasi Badrul masih lagi dalam proses penilaian dan segala keputusan perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa Teknikal dan ahli lembaga pengarah.
Kata Sheikh Farouk, tumpuan sekarang adalah untuk memastikan pasukan kembali ‘segar’ menjelang perlawanan getir menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 22 November depan.
“Buat masa ini, tiada keputusan yang dibuat. Kita masih berada dalam kelompok lima terbaik liga, malah kini di tangga keempat. Jadi pasukan masih berada di landasan yang betul.
“Lebih baik kita tumpu kepada aksi menentang Negeri Sembilan pada 22 November. Itu keutamaan sekarang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sebagai rekod, masa depan Badrul jadi persoalan selepas Sang Penyu tewas 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) serta kegagalan mara ke separuh akhir Piala FA selepas disingkirkan Kuching City baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE














