REMBAU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 25 tahun maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Khairul Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sembilan kira-kira pukul 10.57 malam berkenaan kebakaran sebuah rumah di perkampungan berkenaan.
Menurutnya, sepasukan lima anggota dari BBP Rembau bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira pukul 11.03 malam serta mendapati api sedang marak.
“Operasi pemadaman segera dilakukan membabitkan sisi dan tengah rumah di mana tempat pembakaran sedang aktif. Api terkawal kira-kira pukul 11.20 malam dan kerja-kerja mencari mayat mangsa diteruskan.
“Pasukan bantuan dari BBP Kota dengan tujuh anggota tiba di lokasi kebakaran kira-kira pukul 11.34 malam dan mayat mangsa berjaya ditemui di kawasan bilik pada pukul 11.45 malam.
“Keadaan mangsa melecur hampir keseluruhan badan dan beberapa bahagian rentung seperti kepala dan juga bahagian sisi badan. Mayat yang dikeluarkan dari rumah kemudiannya diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Ujar Muhamad Khairul, ketika kejadian mangsa bersama bapanya berusia lingkungan 60-an berada di dalam rumah tersebut.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada pukul 12.50 tengah malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris turut hadir di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














