LONDON – Seorang lelaki di Britain ditahan kerana memandu jentolak yang dicuri ketika dia dalam keadaan mabuk sebelum mencetuskan kekecohan di pusat bandar, lapor akhbar Metro UK semalam.
Suspek yang berusia 41 tahun memandu jentolak curi itu dari sebuah premis sebelum menyusuri Bridgnorth Road, Compton Road West dan ke lebuh raya berkembar A4150 di bandar Wolverhampton.
Rakaman video menunjukkan jentolak itu merempuh sebuah lori Royal Mail, mencetuskan kekecohan dan merosakkan permukaan jalan.
“Polis menjerit ke arah orang ramai agar mejauhkan diri. Jentolak itu menembusi lori dengan mudah.
“Kami tidak percaya apa yang sedang berlaku. Jumlah anggota polis yang cuba menghentikannya sungguh luar biasa,” kata perakam video, Charlene Harris.
Suspek ditangkap dan ditahan untuk menjalani siasatan lanjut. – AGENSI














