PENGENDALI Kuala Lumpur City (KL City) FC, Risto Vidakovic enggan meletakkan pencapaian peribadi sebagai keutamaan kerana misi memacu pasukan kekal menjadi fokus utamanya musim ini.
Walaupun kekal tanpa kalah dalam lapan perlawanan awal Liga Super, Vidakovic yang pernah dipalit isu gaji ketika bersama Melaka United sebelum ini, menegaskan tiada apa yang perlu dibuktikan olehnya kecuali mahu mengekalkan pasukan di landasan lebih baik.
Namun, Vidakovic sekali lagi meluahkan pendiriannya bahawa fokus pasukan akan kekal di tahap terbaik sekiranya segala keperluan dan kebajikan dijaga dengan baik oleh pihak pengurusan.
“Saya pernah berada di banyak kelab di Asia Tenggara, jadi saya mempunyai resume yang panjang. Saya mempunyai kerjaya yang baik di Asia Tenggara, memenangi banyak kejuaraan.
“Saya tidak perlu buktikan apa-apa, saya hanya perlu melakukan kerja saya. Begitu juga dengan pemain, mereka pernah bermain di banyak kelab dan kehadiran dalam pasukan adalah kerana kelab memilih mereka dan menganggap mereka adalah pemain yang bagus.
“Mereka boleh tingkatkan prestasi pasukan dan bagi saya, mereka sudah melakukan tugas dengan cukup baik,” katanya.
Dalam masa sama, Vidakovic tampil memberikan nasihat kepada pemilik atau pun pihak pengurusan supaya bertindak lebih berani dengan menutup kelab sekiranya tidak lagi mampu untuk membuat pelaburan asas mengikut tuntutan bola sepak profesional. – KOSMO! ONLINE














