PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan komited menangani keluhan rakyat Sabah dengan menumpukan kepada isu asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah, pelbagai projek pembangunan sedang dan akan terus dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan rakyat negeri itu terjamin.
“Kita tidak sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar suara rakyat dan memahami keluh-kesah mereka lantas berusaha menambah baik setiap kelemahan demi masa depan yang lebih baik untuk semua,” ujarnya.
Beliau menambah, tumpuan juga diberikan kepada keperluan rakyat luar bandar agar mereka tidak terus tercicir daripada arus pembangunan negara.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan kekal konsisten dalam membangunkan negeri itu dengan pendekatan yang lebih inklusif dan berfokuskan keperluan sebenar rakyat. – KOSMO! ONLINE














