PETALING JAYA – Malakoff Environmental Solutions menerusi anak syarikatnya, Alam Flora Sdn. Bhd. sekali lagi menganjurkan Kempen ‘Saya Sayang Bumi’ bersempena Karnival Car Free Day: Eco Dash 2025 yang berlangsung meriah di pusat bandar Kuantan baru-baru ini.
Edisi kedua kempen tersebut berjaya menyemarakkan suasana bandar dengan pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian alam, menghimpunkan komuniti bagi memperjuangkan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Muhamad Muhazni Mukhtar, berkata perubahan sebenar bermula dengan penglibatan komuniti.
“Kempen ‘Saya Sayang Bumi’ bukan sekadar acara, tetapi satu gerakan untuk menyemai rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam setiap individu bagi membina masa depan yang lebih lestari untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhamad Muhazni, program ini bukan sahaja memberi pendedahan secara langsung mengenai amalan lestari dan pengurusan sisa yang betul, malah memupuk rasa kepunyaan dan kebanggaan dalam menjaga kebersihan serta kehijauan Kuantan.
Kempen berkenaan juga merupakan antara usaha utama Alam Flora dalam memupuk kepimpinan alam sekitar dan menyokong agenda kelestarian negara ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih sihat untuk generasi akan datang.
Antara tarikan utama dalam program ini adalah inisiatif 3R on Wheels (3ROW) yang membawa pendidikan kitar semula secara interaktif kepada orang ramai.
Selain itu pelbagai aktiviti menarik termasuk ceramah pengasingan sisa di punca, permainan interaktif bertemakan alam sekitar, aktiviti belian semula barangan kitar semula serta pertandingan mewarna yang disertai oleh 70 peserta cilik.
Menerusi program ini, pengunjung turut digalakkan mengamalkan prinsip kurangkan, guna semula dan kitar semula, menjadikan kelestarian lebih mudah difahami dan menyeronokkan untuk semua peringkat usia.
Dalam masa yang sama, inisiatif ini turut menjadi sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff Environmental Solutions, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB No. 11.
Iaitu menjadikan bandar dan penempatan manusia lebih inklusif, selamat, berdaya tahan serta mampan, berlandaskan aspirasi Malakoff, ‘Enhancing Life, Enriching Communities’.
Sempena sambutan ulang tahun ke-50 Kumpulan Malakoff, kempen ini turut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memacu impak positif bukan sahaja melalui kecemerlangan operasi, tetapi juga melalui usaha kelestarian jangka panjang dan pembangunan komuniti. – KOSMO! ONLINE














