KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa pembangunan e-sukan di negara ini akan diteruskan, namun langkah itu dibuat dengan pendekatan berhati-hati susulan kebimbangan terhadap ketagihan gajet dalam kalangan remaja.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS tetap memberi sokongan kepada atlet e-sukan yang mewakili Malaysia melalui Majlis Sukan Negara dan agensi Impact, termasuk bantuan latihan serta pembiayaan penyertaan ke kejohanan.
“Isu ketagihan telefon dan permainan tanpa kawalan dalam kalangan pelajar sekolah kekal menjadi perhatian serius kerajaan.
“Ketagihan gajet merupakan masalah sosial yang serius. KBS perlu seimbangkan antara pembangunan belia dan pembangunan sukan,” katanya di Dewan Rakyat.
Hannah berkata, buat masa ini tiada promosi secara aktif dijalankan oleh KBS atau Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menggalakkan e-sukan di sekolah.
Bagaimanapun, KBS dan KPM telah mengadakan beberapa sesi libat urus dan draf garis panduan pelaksanaan e-sukan di sekolah telah pun disediakan.
“Mulai tahun depan, KPM hanya akan memberi sokongan kepada penganjuran kejohanan e-sukan membabitkan murid sekiranya permainan yang digunakan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penilai Judul Permainan yang turut disertai Unit Psikologi Kaunseling KKM,” katanya.
Menurut beliau, KBS telah menyerahkan NESDEG (Garis Panduan Pembangunan E-Sukan Kebangsaan) kepada KPM sebagai dokumen rujukan utama bagi memastikan pertandingan yang dijalankan menekankan aspek nilai, keselamatan dan pemantauan.
Dalam masa sama, Hannah menegaskan bahawa e-sukan mempunyai potensi ekonomi besar dan mampu melahirkan pemain profesional bertaraf antarabangsa selain membuka peluang pekerjaan seperti jurulatih, pengurus pasukan, pengulas, penganjur acara dan pencipta kandungan digital.
“KBS melalui geran padanan sukan, dana sukan komuniti dan dana Impact turut menyediakan bantuan kewangan kepada kelab, komuniti belia dan pemain industri untuk menganjurkan kejohanan dan program pembangunan bakat.
“KBS dan KPM akan terus bekerjasama memastikan pembangunan e-sukan berlaku secara seimbang tanpa mengabaikan kesejahteraan pelajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














