ALOR GAJAH – Sebuah kapal tangki dari Batam, Indonesia, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas disyaki membawa kira-kira 50 tan metrik minyak diesel bernilai hampir RM180,000 tanpa dokumen sah di perairan Kuala Melaka, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kapal terbabit dikesan oleh bot ronda semasa pelaksanaan Operasi Murni dan Operasi Tiris 3.0 di perairan Selat Melaka.
“Bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal tangki yang sedang bersauh kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Kuala Melaka.
“Pemeriksaan mendapati kapal itu menyimpan kira-kira 50 tan metrik bahan disyaki minyak diesel di dalam tangkinya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang invois pembelian atau dokumen pengesahan pemilikan bahan bakar tersebut.
“Siasatan awal mendapati kapal tangki itu dipercayai telah mengambil minyak diesel di perairan Melaka untuk dibawa keluar tanpa sebarang kebenaran atau dokumen sah.
“Kapal tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 46 tahun yang kini disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan,” ujarnya.
Katanya, kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE














