JOHOR BAHRU – Seorang janda anak satu ditangkap khalwat di rumah seorang duda berusia 70 tahun di sebuah kampung di dalam daerah di negeri ini, kelmarin.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata serbuan dilakukan pukul 9 pagi selepas mendapat maklumat dari orang awam dengan penguat kuasa mengepung rumah berkenaan dan mengetuk pintu sebelum dibuka seorang lelaki.
“Lelaki itu cuba menutup semula pintu apabila penguat kuasa memperkenalkan diri tetapi tidak berjaya. Penguat kuasa berjaya masuk ke dalam setelah memperkenalkan diri. Lelaki itu nampak ketakutan dan pemeriksaan menemui kanak-kanak berumur empat tahun sedang tidur di ruang tamu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita berstatus janda di dalam bilik air dalam keadaan berkemban dipercayai baru lepas mandi.
“Siasatan mendapati lelaki berkenaan berusia 70 tahun berstatus duda kematian isteri. Wanita itu pula berstatus janda dan mempunyai seorang anak. Wanita berkenaan yang berasal dari daerah lain sudah dua hari datang ke rumah duda tersebut.
“Pasangan itu memaklumkan mereka mempunyai perancangan untuk bernikah namun mendakwa ada urusan yang masih belum selesai,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat. – KOSMO! ONLINE














