fbpx
Nubhan (kanan) dan isteri, Dr. Afifah yang sedang dalam proses perceraian di mahkamah.

Didakwa jadi dalang tuntut RM5 juta, ibu mentua Nubhan nak saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dituduh mahu tuntut RM5 juta jika anaknya diceraikan, mentua kepada penyanyi Nubhan, Zailah Zainudin bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah dan menjatuhkan maruah keluarganya.

Ibu Dr. Afiyah Hidayah Ahmad Tawfek yang menzahirkan rasa terkilan apabila namanya serta keluarga diaibkan dengan tohmahan liar ketika mereka berdepan ujian kini sudah melantik peguam.

“Beberapa hari ini, saya dan keluarga melalui ujian berat apabila pelbagai cerita dan tuduhan disebarkan secara terbuka di media sosial. Sebagai ibu, saya sedih nama saya dan keluarga dibawa ke perhatian umum dengan pelbagai tafsiran yang tidak benar.

“Saya tidak pernah mencari perhatian, apatah lagi mahu bergaduh dengan sesiapa. Apa yang saya harapkan hanyalah ketenangan buat anak-anak dan cucu-cucu saya yang kini turut terkesan.

“Saya telah melantik peguam Tetuan Aizat Izuan Shakeel untuk meneliti setiap kenyataan dan hantaran berunsur fitnah. Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan maklumat palsu serta mencemarkan nama baik saya dan keluarga,” katanya.

Zailah, 62, juga bekas pensyarah itu berkata, tindakan tegas mengikut lunas undang-undang dilakukan berikutan perbuatan melampau pihak yang didakwa sengaja mahu memalukan serta menginjak maruah keluarganya.

Pada masa sama, ibu empat anak itu turut meminta mereka yang rancak menyebarkan fitnah supaya berhenti berbuat sedemikian atau berdepan saman.

“Saya tidak akan berdiam diri apabila maruah kami dipermainkan. Kepada pihak tertentu yang terus menyebarkan fitnah, saya mohon agar hentikanlah penyebaran cerita yang tidak pasti kebenarannya.

“Jangan menambah luka dengan andaian atau komen yang hanya berasaskan khabar angin. Cukuplah fitnah dan kata-kata yang menyakitkan,” ujarnya.

Zailah juga menitipkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan kata-kata positif sepanjang puteri sulungnya berhadapan kemelut perkahwinan dengan Nubhan.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan semangat kepada saya serta keluarga. Sokongan semua amat kami hargai dan diucapkan terima kasih.

“Saya yakin dan percaya bahawa kebenaran akhirnya akan diketahui,” katanya.

Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah atau Dr. Fie.

Namun ketika proses mahkamah belum selesai,  timbul pula dakwaan kononnya RM5 juta dituntut ibu kepada Dr Fie sekiranya anaknya itu diceraikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN