ALOR SETAR – Kerajaan negeri berharap penguatkuasaan dan kawalan keselamatan di negeri ini diperketatkan dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) khususnya melalui perairan Langkawi.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak terlibat perlu cakna dalam isu berkaitan memandangkan cubaan PATI dari Myanmar untuk memasuki Malaysia melalui negeri ini sering berlaku.
“Cubaan masuk ke Malaysia berlaku selalu, saya harap agensi berkaitan caknalah dan ambil tindakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan oleh mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi pembentangan Bajet Kedah 2026 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa dilancarkan susulan insiden sebuah daripada tiga bot yang dipercayai membawa kira-kira 300 imigran karam berhampiran Pulau Tarutao, di perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia. – KOSMO! ONLINE














