fbpx
Azizee (depan) ketika sidang akhbar tangkapan suspek dan rampasan dadah dipercayai bunga ganja di IPK Pulau Pinang, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/ KOSMO!

Bungkus ganja RM8.7 juta seperti keropok lekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM8.7 juta dipercayai untuk pasaran luar negara dengan menahan lapan suspek di Seberang Perai Tengah dekat sini, Selasa lalu.

Tangkapan enam lelaki tempatan bersama seorang lelaki warga United Kingdom (UK) dan wanita Thailand dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Masing-masing suspek berusia 20 hingga 37 tahun itu bekerja sebagai penghantar makanan dan ‘beach boy’ manakala seorang lelaki tempatan dipercayai ‘dalang’ serta isterinya warga Thailand merupakan pengusaha restoran di Negeri Sembilan.

Serbuan bermula Selasa hingga Khamis minggu lalu itu merampas 247.7 kilogram bunga ganja yang sebahagiannya dipek menggunakan kaedah pembungkusan vakum menyerupai bungkusan keropok lekor.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan pertama telah menahan enam lelaki tempatan termasuk seorang lelaki warga UK di sebuah inap desa di Bukit Mertajam

Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis kemudiannya menahan pasangan suami isteri iaitu lelaki tempatan dan wanita Thailand di tepi jalan kawasan yang sama.

“Hasil pemeriksaan polis telah merampas lapan bagasi berzip mengandungi 162 bungkusan dadah disyaki bunga ganja bersama sembilan lagi bagasi berisi 119 dadah sama.

“Siasatan mendapati, bekalan dadah itu dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat ke sempadan negeri Pantai Timur. Kesemua suspek dipercayai merupakan ‘transporter’ dadah dengan menerima upah RM9,000 hingga RM15,000.

“Setiap satu kilogram dadah berharga RM35,000 dan setiap daripadanya mempunyai label perisa buah-buahan termasuk bijiran. Ini kemungkinan dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya lagi, lelaki UK berketurunan Pakistan tersebut dipercayai bertindak sebagai keldai dadah dan sindiket itu menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi transit.

“Hasil semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau dan kesemua tangkapan direman selama tujuh hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN