LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjangkakan lebih banyak mangsa akan dijumpai berikutan pergerakan arus laut yang menghala ke perairan ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, jarak antara Pulau Tarutao, Thailand dengan daratan Langkawi juga adalah dekat iaitu 2.5 batu nautika.
“Jadi kita harapkan akan lebih banyak mangsa yang boleh ditemukan pada hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Jeti APMM di sini hari ini. Menurutnya lagi, terdapat kemungkinan ada lagi mangsa yang terselamat kerana jarak daratan antara Thailand dan Malaysia berhampiran.
Tambahnya, ada kes sebelum ini di mana mangsa yang terapung selama tujuh hari di laut masih ditemukan hidup.
Beliau turut menyatakan harapan lebih ramai mangsa ditemukan dalam keadaan selamat berdasarkan faktor arus laut dan jarak pada hari ini. – KOSMO! ONLINE














