PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa sebarang cubaan menceroboh perairan negara termasuk oleh pelarian, penyeludup atau pun sindiket pemerdagangan manusia, tidak akan dibenarkan sama sekali.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun, apabila terjadinya kejadian bot karam seperti insiden yang berlaku di perairan Pulau Langkawi, minggu lalu, aktiviti menyelamat diutamakan.
“Sama ada istilahnya pelarian, penyeludupan manusia atau pemerdagangan orang, tugas utama agensi penguatkuasa adalah untuk menghalang mereka daripada memasuki perairan negara.
“Namun, kalau dah berlaku insiden macam bot karam misalnya, kerja kita adalah menyelamatkan dahulu. Bila bot karam, kita biarkan dia (mangsa) mati lemas, itu zalim namanya,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (carilamat) mangsa insiden bot karam sedang giat dijalankan dengan kawasan pencarian meliputi kira-kira 250 batu nautika persegi.
Tambahnya lagi, mangsa yang ditemui dan berjaya diselamatkan sebelum ini akan disiasat oleh pihak polis bagi mengenal pasti status dokumen mereka.
Terdahulu, media melaporkan enam lagi mayat imigran, dipercayai mangsa bot karam, ditemukan terapung oleh pihak berkuasa Thailand di perairan sempadan Malaysia-Thailand semalam. – KOSMO! ONLINE














