ALOR SETAR – “Kami sudah pesan banyak kali jangan masuk (Malaysia) tapi mereka degil sengaja tempah maut di laut.”
Itu luah kesalan Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali tentang insiden terbaharu sebuah bot dipercayai membawa pendatang asing tanpa asing (PATI) etnik Rohingya karam di perairan Langkawi, Sabtu lepas ketika cuba menyeludup ke negara ini.
Yusof mendakwa walaupun tiada maklumat berhubung kemasukan itu namun mempercayai bahawa sindiket pemerdagangan yang mempunyai tali barut dalam kalangan warga asing di negara ini itu juga hanya mengejar keuntungan tanpa mengira keselamatan PATI terlibat.
“Mereka (sindiket) bukan peduli pun, bot kecil ka…besar ka. Mereka sumbat sahaja kerana yang penting mereka dapat duit. Kalau seorang kena bayar RM10,000 kalau dua sekeluarga sudah dapat RM20,000. Kanak-kanak pun mereka ambil RM5,000 kecuali bayi. Mereka tidak peduli PATI ini hidup atau mati. Pelarian ini sudah jadi lombong emas sindiket.
“Saya sudah berbuih mulut pesan kepada komuniti di sini supaya sampaikan kepada orang Rohingya di Myanmar dan Bangladesh, jangan masuk. Kalau masuk mereka macam mahu bunuh diri sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Yusof menambah, pihaknya tidak menafikan terdapat dalam kalangan orang Rohingya di sini yang sanggup menghantar wang yang banyak bagi membolehkan anggota keluarga mereka datang ke Malaysia.
“Kebanyakan daripada mereka dari Kem Pelarian di Bangladesh yang sudah dijaga dengan baik oleh UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian). Sudah ada tempat tinggal dan makan minum tetapi mahu tempah maut juga. Ini bukan salah Malaysia atau Thailand ini salah mereka sendiri.
“Dari Bangladesh, sindiket guna kapal besar yang muat 300 hingga 400 orang dan tiba di sempadan tekong di sini sudah menanti untuk membawa mereka naik bot kecil seperti bot nelayan. Keadaan sangat bahaya kalau terlebih muatan, kami sudah 1,000 pesan, mereka degil,” katanya. – KOSMO! ONLINE














