JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan seorang wanita hamil ‘menangkap’ suaminya berdua-duaan dengan wanita lain di sebuah bilik sewa, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Kejadian berlaku di Palembang, wilayah Sumatera Selatan.
Dalam video tersebut, seorang wanita berbaju kuning yang sarat mengandung dilihat menjerit ke arah suami dan kekasih gelap lelaki itu.
Si isteri dilihat mengamuk sambil mengejar kekasih gelap suaminya dan cuba menarik baju wanita tersebut.
“Awak rampas suami saya!” katanya sambil menjerit.
Dalam masa sama, teman wanita suaminya cuba melawan dan menunjuk-nunjuk ke arah perakam video sambil dirinya dilindungi oleh lelaki berkenaan.
“Awak meruntuhkan rumah tangga orang,” tambah si isteri.
Video itu menjadi tular dengan ramai pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki berkenaan yang berlaku curang kepada isterinya, terutamanya ketika wanita itu sarat hamil. – AGENSI














