BAYANGKAN cinta yang tidak dilihat dengan mata, tetapi dirasai melalui rasa.
Di tengah keindahan Auckland yang dingin dan berangin, seorang cef yang kehilangan arah bertemu gadis buta yang mampu ‘melihat’ lebih jauh daripada sesiapa pun. Saling Tak Terlihat, telefilem terbaharu arahan Izuan Mokhtar, bukan sekadar kisah cinta, namun sebuah perjalanan jiwa, deria dan harapan yang bangkit dari kegelapan.
Diterbitkan Usanita Entertainment Sdn. Bhd. bawah jenama UTV, telefilem berkenaan membariskan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Nora Danish, Fattah Amin, Alicia Amin, Ummie Aida, Aleza Shadan dan Raja Azmi.
Mengangkat tema cinta, kehilangan serta semangat untuk bangkit semula, Saling Tak Terlihat menawarkan kisah yang menyentuh hati dengan sentuhan sinematik menawan berlatar belakangkan keindahan Auckland, New Zealand.
Menariknya, telefilem berkenaan turut mengembalikan gandingan Remy dan Nora ke dalam sebuah naskhah.
“Remy dan Nora masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri. Saya tahu kemampuan lakonan mereka dan kali ini saya beri ruang untuk mereka tampil lebih matang dan mendalam. Telefilem ini juga sedikit berat dari segi emosi,” kata Izuan.
Tambah Izuan juga, telefilem berkenaan menjalani penggambaran selama sembilan hari, termasuk dua hari di Malaysia dan tujuh hari di Auckland. Pengalaman itu memberikan cabaran tersendiri dari segi logistik, cuaca dan penyusunan semula jalan cerita.
“Sebenarnya idea asal telefilem ini saya rancang untuk menjalani penggambaran di Morocco. Saya sudah buat tinjauan ke Tunisia, Marrakesh dan Casablanca. Tapi akhirnya kami ubah lokasi ke New Zealand kerana faktor logistik dan visual yang lebih sesuai dengan naratif baharu,” katanya.
Izuan turut berkongsi bahawa idea asal telefilem tersebut muncul daripada keinginannya menghasilkan kisah cinta berbeza menggabungkan emosi manusia dan kulinari.
“Kisahnya menggabungkan rasa cinta terhadap masakan dan antara dua insan. Saya mahu penonton merasakan keindahan cinta yang datang bukan daripada pandangan mata, tetapi daripada ‘rasa’ yang lebih mendalam,” katanya.
Lebih menarik, watak utama wanita dalam telefilem ini digambarkan sebagai seorang gadis buta, menjadikan tema ‘deria dan rasa’ lebih kuat dan simbolik dalam penceritaan.
“Saya percaya Orang Kelainan Upaya (OKU) memiliki kelebihan tersendiri. Dalam kisah ini, watak buta mempunyai deria rasa yang sangat tajam. Dari situ datangnya hubungan emosi yang unik antara dua karakter utama,” tambahnya.
Sepanjang penggambaran, Izuan mengakui berdepan cabaran besar apabila cuaca di Auckland tidak menentu sehingga menyebabkan empat hari tertangguh akibat hujan lebat.
“Empat hari kami tak dapat shooting seperti dijadualkan kerana hujan berterusan. Jadi kami terpaksa ubah jadual, set semula lokasi. Apabila hujan berhenti kami teruskan penggambaran,” katanya.
Sementara itu, Presiden UTV dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan berkata, Saling Tak Terlihat merupakan sebahagian daripada usaha UTV memperkenalkan naskhah berkualiti tinggi dengan wajah pelakon yang pelbagai.
“Kami mahu tampilkan kepelbagaian wajah dan bakat, bukan hanya terhad kepada duta Usanita semata-mata.
“Setiap drama bersiri atau telefilem yang kami hasilkan bertujuan memperkukuh nilai karya tempatan agar setaraf dengan produksi antarabangsa,” katanya.
Inspirasi
Kisah bermula apabila Ghaz lakonan Remy Ishak kehilangan ibunya, seorang cef terkenal yang mengusahakan restoran milik keluarga. Sebagai seorang cef, Ghaz hilang arah apabila masakannya tidak lagi mampu menandingi sentuhan ibunya.
Dalam usaha mencari ketenangan dan inspirasi baharu, Ghaz membawa diri ke Auckland bersama adiknya dan rakan sekerja (lakonan Fattah Amin dan Alicia Amin).
Di sana, pertemuannya dengan Safera (Nora Danish), seorang gadis buta mengubah perjalanan hidupnya. Safera menjadi sumber inspirasi dan semangat Ghaz kembali mengejar impiannya. Namun, salah faham antara mereka memisahkan cinta yang baru berputik.
Dengan sinematografi menawan dan kisah yang sarat emosi, Saling Tak Terlihat menjanjikan pengalaman menonton yang indah, menyentuh perasaan dan penuh makna. Keasyikan naratif telefilem berkenaan turut dibantu lagu Jadikan Aku Nadi Hidupmu sebagai runut bunyi.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai tersebut dipersembahkan Lah Ahmad yang cukup sinonim dengan kekuatan vokal dan emosi dalam menyampaikan lagu, sekali gus melengkapkan aura cinta dan rasa yang menjadi nadi kisah ini.














