TUMPAT – Seekor lembu betina diangkat menggunakan jengkaut selepas terjatuh dan terperangkap selama hampir 11 jam di dalam tangki septik sedalam tiga meter di sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan Hulu, di sini hari ini.
Kejadian tersebut disedari penduduk kampung pagi tadi selepas lembu yang mempunyai dua anak itu disyaki terjatuh ke dalam tangki berkenaan kira-kira pukul 12 tengah malam.
Seorang penduduk kampung, Norizan Mohammad, 63 berkata, dia menyedari lembu itu terjatuh ke dalam tangki itu kira-kira pukul 7 pagi tadi semasa berada di luar kawasan rumahnya. Menurutnya, sebelum itu, dia tersedar daripada tidur pada tengah malam tadi selepas mendengar bunyi lembu menguak.
“Selepas waktu subuh, saya keluar rumah dan melihat kepala seekor lembu sedang mendongak keluar dari tangki septik itu. Rupa-rupanya ia terjatuh dan terperangkap di situ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Tumpat, Ma’awiah Mohamad berkata, seramai empat anggota APM membantu mengeluarkan haiwan tersebut yang terperangkap di dalam tangki septik itu menggunakan sebuah jengkaut.
Menurutnya, kerja-kerja menyelamat lembu itu selesai dalam masa 10 minit dengan dibantu penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE














