KUALA LUMPUR – Aksi pelik seorang lelaki yang dipercayai ‘menceroboh’ rumah wanita dalam keadaan bogel sebelum menyamun telefon bimbit mangsa di sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, di sini, kelmarin membawa padah apabila diberkas polis, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang kelmarin, suspek berusia 27 tahun dikatakan menceroboh rumah seorang wanita berusia 20 tahun melalui halaman yang tidak berkunci ketika mangsa sedang menyidai pakaian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata mangsa pada awalnya menyangka pintu jeriji yang dibuka adalah perbuatan rakan serumahnya, namun terkejut apabila mendapati seorang lelaki tidak berpakaian masuk ke dalam rumah.
“Mangsa cuba melarikan diri, tetapi dihalang suspek sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa cedera pada paha kiri, bibir serta tangan kiri yang lebam dan calar.
“Suspek turut mengugut akan membunuh mangsa selain meminta wang. Apabila mangsa enggan memberi kata laluan telefon bimbitnya, suspek bertindak merampas telefon itu dan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Susulan laporan dibuat, sepasukan polis menahan suspek di kawasan Taman Sri Sentosa pada pukul 7.12 malam hari yang sama.
Hoo berkata, penahanan suspek membawa kepada rampasan tiga telefon bimbit termasuk milik mangsa, sebuah beg galas, komputer riba, baju, seluar dan selipar.
Katanya, hasil semakan lanjut mendapati suspek memiliki 12 rekod jenayah dan tujuh rekod berkaitan dadah, malah ujian air kencing turut menunjukkan dia positif ganja.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes lain yang disiasat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Suspek kini direman lima hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














