PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan calang-calang apabila melibatkan siasatan kes jenayah siber dan pengesanan akaun media sosial yang disyaki digunakan untuk tujuan meragukan.
Menerusi satu hantaran di laman TikTok seorang peguam, Hafiz Baharuddin atau lebih dikenali sebagai @Lawyerresponse, menjelaskan bahawa proses mengenal pasti pemilik akaun sebenarnya sangat mudah dilakukan pihak berkuasa.
Beliau berkata, setiap pendaftaran akaun media sosial seperti X (Twitter) atau e-mel seperti Gmail dan Yahoo memerlukan nombor telefon yang sah sebelum akaun dapat diaktifkan.
Menurutnya, di Malaysia, nombor telefon merupakan elemen penting kerana semua syarikat telekomunikasi mewajibkan pendaftaran dengan kad pengenalan pengguna. Ini bermaksud maklumat pemilik dapat dikesan dengan cepat oleh PDRM jika diperlukan.
“Kalau nombor telefon itu berdaftar atas nama seseorang, sebenarnya polis ada cara dan kuasa untuk kesan siapa yang guna e-mel atau akaun tersebut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam struktur organisasi PDRM, terdapat pelbagai bahagian termasuk jabatan forensik digital yang beroperasi di Bukit Aman dan dikenali mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang ini.
“Bahagian forensik Bukit Aman ada kemampuan untuk triangulate lokasi seseorang hanya dengan menggunakan nombor telefon. Itu bukan benda baru, teknologi itu dah ada sejak sepuluh tahun lepas,” jelasnya.
Katanya lagi, kaedah triangulasi atau pengesanan kedudukan tersebut digunakan dalam pelbagai operasi memburu suspek dan membantu pihak polis menjejaki individu dengan tepat tanpa memerlukan masa lama.
“Kalau tanya pegawai penyiasat atau IO, mereka akan beritahu yang teknologi ni dah lama digunakan. Bukan benda rahsia pun,” ujarnya.
Hafiz juga menolak anggapan bahawa polis tempatan ketinggalan dari segi teknologi, sebaliknya menyifatkan Malaysia sebagai antara negara yang pantas mengadaptasi pendekatan forensik digital.
“Polis kita bukan cikai. Dari segi kemampuan teknikal dan forensik, kita setaraf negara maju. Cuma peralatan dan kemudahan canggih lebih tertumpu di Bukit Aman dan kawasan sekitar Lembah Klang,” katanya.
Menurutnya, walaupun sumber mungkin tidak sebanyak negara lain, tahap kepakaran pegawai forensik negara tetap tinggi, dan ini menjadikan kerja-kerja menjejak individu di ruang digital bukan satu masalah besar bagi pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE
@lawyersresponse JANGAN INGAT KORANG BOLEH TERLEPAS DISEBALIK PSEUDONYM YANG BURUK. #polis #science #forensics #abglawyer #saturday ♬ original sound – Abang Lawyer Hafiz Baharuddin














