KLANG – Video tular yang dikaitkan cubaan samun berlaku di Aman Perdana di sini, sebenarnya merupakan simulasi dilakukan polis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, simulasi itu dilakukan bagi mengkaji keberkesanan dan kesiapsiagaan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dalam menghadapi situasi kejar mengejar (hot pursuit).
“Pada 8 November (Sabtu) lebih kurang pukul 10 pagi, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Klang Utara telah mengadakan latih amal simulasi ‘hot pursuit’.
“Latihan ini melibatkan koordinasi bersama cawangan Pusat Kawalan Polis Bahagian Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam IPD Klang,” katanya hari ini.
Menurutnya, seramai dua pegawai kanan polis bersama 26 pegawai rendah polis daripada IPD yang sama terlibat secara langsung dalam menjayakan latihan berkenaan.
Sehubungan itu, Vijaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan serta memuat naik sebarang rakaman video yang boleh menimbulkan ketakutan kepada masyarakat.
“Tindakan akan diambil ke atas individu yang menyebarkan perkara tidak benar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya. Terdahulu, tular rakaman satu video berdurasi 16 saat yang dirakam seorang individu di media sosial yang dikaitkan dengan cubaan samun kedai emas. – KOSMO! ONLINE














