fbpx
Suraya (kanan) dan Muhammad Yusoff selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kota Bharu hari ini.

Suri rumah bebas tuduhan guna lambang Datuk palsu pada dua kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang suri rumah atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis Ahli Majlis Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim palsu pada dua buah keretanya, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Rosli Yusoff membuat keputusan itu terhadap Suraya Ibrahim, 59, selepas menolak rayuan pihak pendakwaan yang gagal membuktikan kes prima facie.

“Selepas meneliti rekod rayuan melalui hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela, mahkamah bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang memutuskan tiada kes prima facie dibuktikan terhadap tertuduh.
“Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan dan rayuan pihak pendakwaan ditolak ditolak. Dengan ini, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini pada 5 Disember 2024 memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 18 Disember 2024.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 2 April 2023 atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis Ahli Majlis Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim palsu pada dua buah keretanya, tiga tahun lalu.

Suraya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf di bawah Enakmen Lambang-Lambang Dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Disalahguna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/1977).

Lambang tersebut diletakkan pada dua buah kereta yang digunakan oleh Suraya iaitu kereta jenis Mercedes-Benz dan BMW di sebuah rumah di Kampung Bawah Lembah Bunut Payong di sini pada 25 Jun 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Yusoff Abdullah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN