PETALING JAYA – Polis akan memohon lanjutan reman terhadap pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee bagi membantu siasatan kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan perkara itu dan memaklumkan permohonan sambungan reman berkenaan akan dibuat esok.
“Tempoh reman individu itu tamat esok dan kita akan mohon lanjutan bagi melengkapkan siasatan,” katanya, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Namewee direman enam hari sehingga 10 November bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kes siasatan itu susulan kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan berusia 31 tahun yang ditemukan tidak bernyawa di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober lalu.
Difahamkan, Namewee hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas diminta memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Namewee berkata, beliau baru tiba dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur sebelum hadir ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan serta membantu siasatan polis.
Terdahulu, polis memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan menahan individu terakhir yang dilaporkan bersama mangsa sebelum wanita itu ditemui maut.
Namewee dikatakan individu terakhir bersama pempengaruh tersebut sebelum kematiannya. – KOSMO! ONLINE














