MADRID – Real Madrid berpeluang melebarkan jurang lapan mata di tangga teratas La Liga apabila menentang Rayo Vallecano di Estadio de Vallecas malam ini.
Skuad kendalian Xabi Alonso kini berada dalam prestasi terbaik di peringkat domestik selepas meraih 10 kemenangan daripada 11 aksi liga musim ini, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat, Barcelona lima mata di belakang.
Meskipun tewas 0-1 kepada Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL)minggu lalu, Los Blancos dijangka kembali garang dalam saingan liga apabila memburu kemenangan kelima berturut-turut selepas menundukkan Villarreal, Getafe, Barcelona dan Valencia sebelum ini.
Bagaimanapun, rekod pertemuan dengan Vallecano tidak terlalu selesa apabila hanya memenangi dua daripada enam pertemuan terakhir, termasuk tewas 2-3 pada musim 2022/23, namun kemenangan 2-1 pada Mac lalu menjadi bukti Real masih dalam kelas tersendiri.
Alonso juga mahu anak-anak buahnya mengekalkan disiplin dan fokus di sebalik isu luar padang membabitkan Vinicius Junior, sambil menegaskan tumpuan penuh harus diberi kepada usaha mengukuhkan kedudukan di puncak liga.
Sementara itu, Vallecano turut membawa momentum positif selepas menewaskan Lech Poznan 3-2 dalam saingan Liga Konferens Eropah kelmarin yang mana ia adalah kemenangan ketiga mereka dalam empat perlawanan terakhir di semua kejohanan.
Bagaimanapun, prestasi pasukan bimbingan Inigo Perez dalam saingan La Liga agak tidak menentu dengan empat kemenangan dan lima kekalahan daripada 11 perlawanan, selain hanya meraih lima mata di laman sendiri musim ini.
Dalam 46 pertemuan keseluruhan, Vallecano hanya menang tujuh kali ke atas Real Madrid, namun mereka tetap pasukan yang sukar dijinakkan selepas mencatat tiga seri dalam empat aksi terakhir La Liga menentang gergasi Sepanyol itu. – AGENSI














