BANGKOK – Seorang lelaki Malaysia ditahan di sebuah pos pemeriksaan di wilayah Chumphon, selatan Thailand selepas polis menemui 75 kilogram dadah ketamin bernilai lebih 70 juta baht(RM9 juta) di dalam but kereta yang dipandunya.
Bagaimanapun, suspek mendakwa bahawa dia hanya diupah untuk memandu kenderaan itu pulang ke Malaysia dan tidak mengetahui dadah yang disembunyikan, lapor laman berita Thai Newsroom memetik saluran televisyen Channel 7 semalam.
Penangkapan Teh Wei Yi, 25, adalah hasil pencegahan ketat penyeludupan dadah di sepanjang laluan Selatan Thai.
Selepas polis menggeledah kereta hitam dengan nombor plat Malaysia dipandu suspek, mereka menemui dadah tersembunyi di dalam ruang sulit kenderaan tersebut.
Suspek mendakwa bahawa dia diupah oleh seorang lelaki Malaysia lain untuk memandu kenderaan itu dari Bangkok ke negara asal mereka dengan bayaran RM5,000 dan tidak mengetahui ada barang haram tersembunyi di dalamnya.
Suspek kini berdepan pertuduhan ‘mengedar dan memiliki dengan niat untuk mengedar dadah Kategori 2(ketamin) tanpa lesen’.
Sementara itu, polis turut menyerbu tujuh lokasi di Pattaya dan Phuket untuk menahan anggota sebuah geng dadah.
Ketua kumpulan itu yang kini ditahan di penjara pula dikenakan tuduhan tambahan, kata akhbar Naewna.
Dalam serbuan tersebut, polis menahan wanita bernama Ornjira. Dia ialah teman wanita kepada ketua geng dadah tersebut, Phakwat alias Joe Hoen Sai Thong, manakala seorang lagi suspek dikenali sebagai Phuwanat diberkas di sebuah kondominium di daerah Si Racha, wilayah Chonburi.
Serbuan menyusul selepas Mahkamah Wilayah Phuket mengeluarkan waran tangkap untuk lima lagi suspek dalam kes itu selepas Phakwat dan seorang konconya ditahan bersama 6.9 kilogram kristal methamphetamine dan 200,000 pil methamphetamine. – AGENSI














