KOTA KINABALU – Selangor FC sekali lagi dipalit kekecewaan apabila membenarkan Sabah pamer kebangkitan untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Likas, sebentar tadi.
Keputusan itu seakan meningkat lagi tekanan buat The Red Giants selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) hingga membangkitkan kemarahan di kalangan penyokongnya.
Terdahulu, tuan rumah hanya memerlukan tempoh 13 minit untuk membuka jaringan perlawanan menerusi penyudah sempurna Ajdin Mujagic dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa.
Keputusan pengendali pelawat, Christophe Gamel memasukan Fazly Mazlan nyata menjadi percaturan berbaloi apabila hantaran yang dilakukannya terkena pertahanan tuan rumah, Dane Ingham untuk menghasilkan gol penyamaan.
Jaringan itu seperti membangkitkan semangat Selangor FC untuk memburu jaringan tambahan dan hasilnya, Nooa Laine bijak menanduk masuk hantaran Faisal Halim pada minit ke-80.
Ketika aksi hampir berakhir 2-1 berpihak kepada pelawat, Mujagic sekali lagi menyerlahkan ketenangan untuk menghidu peluang bagi menghasilkan gol penyamaan buat Sabah pada masa kecederaan.
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan terakhir pada aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 30 November ini. – KOSMO! ONLINE














