MANCHESTER – Aksi Manchester City dan Liverpool di Stadium Etihad tengah malam ini dijangka menentukan pasukan yang lebih berhak untuk kekal sebagai pencabar kejuaraan musim ini.
Walaupun mempunyai kadar kemenangan melebihi 70 peratus, Liverpool sentiasa menjadi lawan yang cukup liat dan agak sukar buat Guardiola sejak tiba di Manchester City pada 2016.
Rekod lampau boleh dijadikan pedoman apabila menunjukkan Guardiola hanya menang tujuh kali ke atas The Reds dalam 24 pertemuan termasuk tewas dua kali kepada Slot pada dua perhitungan musim lalu.
“Jika Arsenal kekal dengan apa yang mereka lakukan, adalah sukar untuk mengejar mereka. Namun, kami sentiasa jangkakan kami mampu jadi lebih baik dan harap mereka akan tercicir mata.
“Satu-satunya perkara yang kami boleh lakukan ketika ini adalah memenangi perlawanan untuk merapatkan jurang mata. Namun, ketika ini kita baru saja berada di awal bulan November.
“Kami tidak akan mampu untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada November tetapi ketika ini juga kami berdepan risiko untuk hilang semua peluang itu,” katanya yang sudah memenangi enam kejuaraan EPL bersama The Citizens.
Ia juga menjadi detik penting buat kedua-dua pasukan khususnya Guardiola yang kini bakal melengkapkan satu lagi cerita luar biasa dengan melengkapkan perlawanan ke-1,000 selaku pengurus pasukan.
Namun, Guardiola membayangkan perlawanan menentang Liverpool sebagai aksi impiannya pada penampilan bersejarah tersebut dalam karier kejurulatihannya.
“Sejujurnya tiada apa yang lebih baik dan Liverpool menjadi perseteruan utama. Sudah pasti sebelum ini kami menekan Liverpool untuk jadi lebih baik, malah mereka juga melakukan perkara sama kepada kami,” katanya.
Guardiola akan menyertai 38 pengurus lain yang berada dalam senarai Hall of Fame Persatuan Pengurus Liga (LMA) bersama Sir Alex Ferguson and Arsene Wenger, selaku pengendali yang melengkapkan aksi ke-1,000. – AGENSI














