KUCHING City FC berpeluang untuk menghadirkan kejutan terbesar musim ini sekiranya mampu mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Negeri, Sarawak malam ini.
Perlawanan itu juga menjadi pentas terbaik buat anak-anak buah Aidil Sharin Sahak membuktikan pencapaian luar biasa diraih mereka ketika ini bukan sekadar kebetulan.
“Kami akan berikan yang terbaik bermula dengan 0-0, 11 pemain dan kami juga pernah menentang mereka di Kuching. Keputusan kami tidak boleh kawal tetapi mudah-mudahan kami dapat memberikan saingan yang baik,” kata Aidil.
Berdasarkan dua aksi terakhir pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Negeri, The Cats membuktikan mampu memberi saingan kepada JDT apabila tewas 0-2 dan 0-1, kedua-duanya dalam saingan Liga Super.
Sementara itu, penyerang JDT, Bergson da Silva mengakui bukan tugas mudah untuk mempertahankan kejuaraan, namun kemenangan ke atas Shanghai Shenhua menjadi motivasi terbaik buat pasukan.
Penjaring terbanyak Liga Super itu juga waspada dengan ancaman Kuching City, namun bercita-cita untuk meraih keputusan positif sebelum perlawanan timbal balik di Johor.
“Kamin hadapi minggu yang padat dan mencabar, aksi Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan selepas itu separuh akhir Piala FA. Kami tidak boleh tertekan memikirkan tugas akan datang bagi mendapatkan keputusan lebih baik.
“Kami kena teruskan momentum ini apatah lagi JDT adalah juara bertahan dan perlu lakukan segala-galanya agar kami lebih bersedia dalam setiap aksi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














