KUALA TERENGGANU – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan kes pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine melibatkan seorang peniaga kosmetik yang juga pempengaruh media sosial, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.
Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak memutuskan demikian berdasarkan permohonan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ely Nazihah Ahmad Yunus.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Rahman didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram (kg). Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu disebuah premis perniagaan di Paya Keladi, di sini, pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, Abdul Rahman yang turut dikenali sebagai Man Hidung turut berhadapan berdepan prosiding pelucutan asetnya bernilai hampir RM1 juta mengikut Akta Perlucuthakan Harta 1988. Antara aset disenaraikan untuk dilucutkan tersebut termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna, Toyota Alphard bernilai RM450,000, kereta Mini Cooper Countryman (RM120,000) dan kenderaan utiliti sukan, Range Rover (RM350,000). – KOSMO! ONLINE














