KUALA TERENGGANU – Empat lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni untuk mencuri kabel elektrik pada awal bulan ini.
Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak bagaimanapun menangguhkan kes tersebut pada 3 Disember depan bagi membolehkan kesemua tertuduh mendapatkan jurubahasa Bahasa Indonesia. Terdahulu keempat-empat tertuduh tidak memahami kertas pertuduhan yang dibacakan.
Terdahulu Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan percubaan kumpulan penjenayah dari Indonesia yang cuba mencuri kabel elektrik di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Kemaman, dekat sini pada 1 November lalu.
Empat lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 27 hingga 62 tahun itu ditahan ketika bersembunyi di belakang ruang pengudaraan pelantar minyak terbabit pada pukul 10.30 pagi. – KOSMO! ONLINE














