LANGKAWI – Dua lagi migran warga Myanmar ditemui terapung di perairan ini berhampiran kawasan Tuas Kuala Muda, Teriang kira-kira pukul 3.11 petang tadi.
Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan migran yang ditemui hanyut setakat ini seramai 13 orang.
Daripada jumlah tersebut, seorang wanita etnik Rohingya ditemui sudah meninggal dunia.
Sementara itu, 12 migran yang terselamat terdiri daripada 11 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seramai 11 migran yang dipercayai mangsa insiden bot karam berhampiran Pulau Tarutao ditemukan dalam keadaan terapung di perairan ini sebelum diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan tempatan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, daripada 11 migran tersebut, seorang wanita Rohingya ditemukan sudah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE














